Thursday, September 23, 2010

PENANTIAN SESUATU YG INDAH ATAU MENYAKITKAN

Fitrah sebagai manusia biasa, kita lazimnya akan berdebar-debar apabila berhadapan dengan situasi yang dinamakan 'penantian' sehinggakan wujud kata-kata  'Penantian Satu Penyeksaan'. Dalam masa kita menunggu pasti pelbagai debaran sama ada dalam bentuk cemas, bimbang ataupun kerisauan akan muncul. Ini ditambah pula dengan pelbagai lagi sangkaan dan persepsi terhadap apa yang akan bakal berlaku dan terjadi dengan penantian tersebut.......sama ada baik atau buruk....

Sama seperti situasi apabila kita menanti kehadiran ataupun respon daripada orang-orang tertentu atau mana-mana pihak yang kita rasa akan membawa sesuatu dalam hidup kita. Keresahan pasti akan menyelubungi kita sehinggalah kita mendapat kata putus atau jawaban daripada 'mereka' yang kita nantikan selama ini.......

Kadang-kadang kita juga terlalai dan terleka dengan debaran penantian. Kita lupa untuk memohon kekuatan kepada Allah s.w.t agar sentiasa diberikan petunjuk dan hidayah yang berterusan agar apa sahaja kemungkinan jawapan terhadap penantian tersebut akan dapat kita tempuhi dengan tenang dan penuh ketakwaan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui...apa yang terbaik pada pemikiran kita untuk penantian ini mungkin tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada kita di dunia dan akhirat kerana hanya Dia yang lebih mengetahui dan Dia yang berkuasa menentukan dan menetapkan segala-galanya untuk setiap hambaNya.

Namun sebagai hamba Allah yang jahil dan lemah kita kadangkala merasa sangat tertekan apabila jawapan kepada penantian yang kita tunggu selama ini tidak seperti yang kita harapkan. Apabila ini berlaku kita mula menyalahkan takdir...kita mula menyumpah seranah...kita mula saling menyalahkan...kita mula mencari punca kesalahan yang pastinya banyak mencari kesalahan pihak lain dan jarang sekali yang muhasabah dirinya sendiri...malah ada ketika kita akan terus berpaling daripada jalan Allah sehingga terungkap kata-kata seorang yang tidak beriman iaitu mengatakan 'Allah tidak Adil'

Percayalah sahabat bahawa Allah sentiasa adil kerana Dia Maha Adil tetapi kita sendirilah yang banyak bersikap tidak adil pada diri kita sebenarnya....adakah sepanjang penantian ini kita telah serahkan sepenuhnya kepada Allah atau kita hanya memandang kagum kepada kehebatan diri sendiri dan sesama makhluk...kita lebih banyak bergantung kepada kekuatan diri kita yang sebenarnya tidak punya apa-apa...kita terlalu mengharap pada pertolongan sesama makhluk walhal mereka juga sama seperti kita...tetapi kita lupa sama sekali untuk memohon daripada Dia yang Maha Kuasa....

Dalam situasi kita berhadapan dengan penantian, kita mengharapkan sesuatu itu berdasarkan keinginan yang kita mahu walhal kita tahu hidup kita di muka bumi ini adalah atas belas kasihan Allah..tetapi kita tidak pernah menyandarkan semua penantian itu kepada Allah....yang kita tahu semua mesti ikut apa yang kita mahu...tidak boleh lari daripada perancangan walhal itu semuakan di bawah ketentuan Allah...adakah itu adil....

Sepatutnya kita menyandarkan sepenuhnya jawapan penantian itu kepada Allah...tetapi bukannya tidak berusaha....jangan pula ada yang salah sangka....bertawakal maknanya kita berusaha dan selebihnya berserah kepada Allah dan bukannya kita menyerah sepenuhnya dan hanya menunggu sahaja buah jatuh ke dalam tangan kita....

Dalam Islam bila berada dalam situasi penantian yang menyeksakan...yang menjadikan kita berada dalam persimpangan.....kita dianjurkan untuk melaksanakan solat isthikarah...dan kalau ikut pembacaan yg saya buat...lebih afdal dan mustajab jika dilakukan di sepertiga malam dimana pada masa ini diriwayatkan bahawa Allah turun ke langit dunia mendengar dan mengabulkan permohonan setiap orang yang memohon kepadaNya...jadilah mohonlah kepadaNya..wahai hamba-hamba Allah yang bertawakal....

p/s Apabila menerima sesuatu yang ditunggu-tunggu dan akhirnya datang seperti yang kita harapkan jangan lupa mengucap syukur kepada Allah s.w.t kerana Dia yang memberikannya kepada kita..Maha Suci Allah

Wednesday, September 22, 2010

KECELARUAN FIKIRAN : ANTARA REALITI DAN FANTASI

Keinginan untuk 'membuka' blog ini di peringkat awal adalah hanyalah sebagai wadah untuk diri ini membuat catatan harian ataupun perkongsian pelbagai bahan-bahan ilmu. Keinginan untuk mencipta satu blog yang hebat seperti orang lain yang mampu menarik ramai pembaca sesuatu angan yang pastinya agak sukar dicapai.

Setelah memiliki blog sendiri rupanya barulah saya sedar bahawa sesungguhnya untuk menulis atau membuat catatan berkaitan dengan apa sahaja pekara yang berkaitan dengan kehidupan seharian merupakan satu pekara yang bukan senang. Oleh itu, saya 'tabik hormat' dan 'tabik spring' kepada semua blogger yang begitu hebat dalam mengolah kata-kata dan ayat-ayat dalam blog masing-masing sehinggakan orang begitu tertarik dengan penulisan anda. Tahniah juga kepada para blogger yang sentiasa dapat 'update' blog masing-masing.

Saya juga sedar bahawa sesungguhnya kelebihan menulis itu adalah anugerah hebat dan terindah daripada Allah s.w.t kepada para hambaNya. Jadi kepada anda semua yang mempunyai kebolehan dan kemahiran menulis sesungguhnya jadikanlah karunia yang dianugerahkan Allah kepada anda sebagai satu ruang untuk menambah amal ibadah di dunia dan juga di akhirat. Ini kerana tidak semua manusia boleh mengolah ayat seperti anda. Ini saya alami sendiri. Banyak idea yang nak disampaikan tetapi nak menyampaikannya dalam bentuk tulisan yang boleh difahami oleh orang lain mungkin bukanlah satu pekara yang mudah. Oleh itu, sekalung tahniah dan ucapkan rasa syukur kepada semua penulis yang benar-benar dikurniakan kebolehan dan kemahiran menulis ini. Maha Suci Allah......

Namun demikian, daripada penciptaan blog ini banyak juga pengajaran yang Allah berikan kepada hambaNya. Sesungguhnya masa itu adalah sesuatu yang sangat berharga.Kita tidak punya kuasa untuk mengubah masa. Semua yang berlaku takkan dapat diulang semula. Pada awalnya berbekalkan semangat blogger baru yang berkobar-kobar saya bertekad untuk mencatat sekurang-kurangnya satu post dalam blog ini setiap hari tetapi sesungguhnya masa itu adalah milik Allah. Jika kita sebagai hambaNya tidak dapat menggunakan masa itu dengan sepenuhnya maka ia berlalu begitu sahaja. Keinginan untuk sentiasa update blog ini hanya menjadi keinginan semata-mata. Dengan kesibukan seharian yang kadangkala mungkin disebabkan oleh kelemahan hamba Allah ini dalam pengurusan masa menyebabkan keinginan tersebut hanya tinggal keinginan...itulah yang dikatakan antara realiti dan fantasi....betapa mudahnya kita berkeinginan atau membina sebuah impian tetapi jika tidak disertai dengan usaha, kesungguhan dan tawakal kepada Allah maka keinginan tersebut tidak akan menjadi kenyataan...dan pasti tak akan menjadi realiti sampai bila-bila cuma yang pasti ia akan menjadi satu fantasi yang akan sentiasa membayangi kita setiap masa......fikir-fikirkanlah...mungkin hanya saya sendiri yang mengertinya.... dan hanya Allah yang Maha Mengetahui....

p/s satu kejayaan buat hamba Allah ini kerana akhirnya berjaya juga menulis satu post untuk hari ini.....semoga sentiasa mendapat kekuatan daripadaMu ya Allah...syukur kami hanya untukMu

Saturday, September 18, 2010

INDAHNYA JIKA DAPAT BERPELUANG MENJADI TETAMU ALLAH

Semangat begitu berkobar-kobar untuk terus menulis dalam catatan blog ini. Almaklumlah waktu hujung minggu...bukan tak ada kerja sebenarnya tetapi sebagai mengisi masa rehat peralihan setiap kerja rumah yang dilakukan.

Y Allah hambaMu ini begitu terkesan dengan dua buah buku yang baru selesai ku baca berkaitan dengan betapa indahnya apabila seseorang itu berpeluang untuk menjadi Tetamu Allah di tanah Suci. Semoga dua orang penulis buku ini iaitu Prof Muhd Kamil Ibrahim "Travelog Haji' dan Ustaz Ghazali Ibrahim "Kembara Hati di Tanah Suci" beroleh rahmat Allah s.w.t di atas penulisan buku yang sangat memberikan kesan kepada hamba Allah yang masih jahil seperti saya.

Sungguh tidak terjangkau oleh pemikiran kerdil kita sebagai manusia yang sangat lemah akan kebesaran dan kekuasaan Allah. Maha Suci Allah di atas segala kurniaan rahmatnya sehingga terus membuka dan memberi keinsafan kepada hambaNya bahawa sesungguhnya hidup ini hanyalah sementara. Kedua-dua buku ini memberi penekanan bahawa sebagai seorang yang mengaku Islam kita harus berusaha seboleh-bolehnya memenuhi kesemua 5 Rukun Islam yang menjadi asas dan tiang agama iaitu :-
  1. Mengucap dua kalimah Syahadah
  2. Solat
  3. Puasa
  4. Zakat
  5. Haji
Seperti yang dihurai oleh kedua-dua penulis ini bahawa kebanyakan umat Islam akan dapat memenuhi 4 rukun di atas tetapi berlaku pengabaian dan sikap melengah-lengahkan di kalangan kita untuk rukun yang kelima walhal rukun kelima tersebut banyak kelebihannya yang Allah janjikan kepada mereka yang sentiasa membuka hati dan berusaha untuk menunaikannya.

Maha Suci Allah...ketika membaca kedua-dua buku ini hati begitu tersentuh dan terkesan dengan penghuraian kedua-dua penulis khususnya berkaitan dengan pengalaman sepanjang berada di Tanah Suci. Terdetik di hati ini adakah hambaMu ini ya Allah akan diberi peluang untuk menikmati keindahan seperti yang telah dirasai oleh mereka yang pernah menjadi tetamu mu Ya Allah.

Hati menjadi sayu...mata menitiskan airmata tanda keinsafan bahawa sesungguhnya setiap apa yang berlaku itu adalah di dalam kekuasaanMu ya Allah....sesungguhnya hambaMu ini sememangnya tidak punya apa-apa ya Robb tiada kekayaan dan penuh pula dengan kejahilan tetapi rasa keinsafan untuk terus sujud kepadaMu memohon keampunan dan keredhaanMu sentiasa berkobar-kobar dalam jiwa hambaMu dan sesungguhnya hanya Engkau Allah yang Maha Mengetahui sejauhmana keikhlasan hambaMu ini memohon dan memohon terus kepadaMu semoga satu hari nanti hambaMu ini akan menjadi tetamuMu ya Allah TetamuMu yang paling istimewa seperti yang pernah didoakan oleh Prof Muhd Kamil Ibrahim.

Untuk Prof Muhd Kamil Ibrahim sesungguhnya hasil tulisan Prof memang amat berkesan dan pada perkiraan hamba Allah yang jahil ini doa Prof ketika di Multazam memohon agar Allah memberkati usaha penulisan buku ini telahpun dikabulkan Allah. Jiwa dan hati saya meronta untuk berkunjung ke Tanah Suci tapi apakan daya pelbagai rintangan sebagai manusia lemah yang perlu dihadapi namun saya yakin seperti yang prof katakan bahawa kita harus terus memohon kepada Allah kerana hanya Dia yang mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang akan menjadi tetamunya.

Untuk Ustaz Ghazali Ibrahim tulisan Ustaz tak kurang hebat kesannya dan saya yakin itu semua adalah kerana rasa keikhlasan daripada hati Ustaz untuk terus menyeru umat Islam yang berkemampuan agar pergi menunaikan haji. Intipati penulisan Ustaz yang saya dapat ialah apapun utamakan untuk pastikan kita dapat menunaikan 5 rukun islam selagi Allah beri kita ruang dan peluang untuk terus hidup di muka bumi ini. Jangan berlengah dan jangan keluarkan pelbagai alasan kerana sessungguhnya seruan haji adalah untuk semua umat Islam sama ada mampu atau tidak bergantung kepada niat dan kesungguhan kita.

Semoga kedua-dua penulis ini akan terus berkarya untuk menyedarkan umat Islam dan saya yakin bahawa Prof dan Ustaz telahpun memperolehi 'Haji Mabrur'.

Keinginan di hati begitu tingggi untuk berkunjung ke Tanah Suci. Ya Allah tidak dapat hambaMu yang hina ini gambarkan bagaimana rasa hati yang teringin ke sana...mungkin inilah yang dinamakan kerinduan mengunjungi Tanah Sucimu..ya Allah berilah juga peluang kepada hambaMu ini agar dapat sujud kepadaMu di Tanah Sucimu sebagai tetamuMu yang paling Istimewa......

Kepada sesiapa yang belum membaca buku ini bacalah........tak mahal cuma dalam RM 30 sahaja...anda pasti tidak akan rugi dan apabila telah mula membacanya seakan-akan anda tidak mahu berhenti sebelum menamatkan buku tersebut...ya begitu indah sekali kerana keikhlasan penulis yang mendapat keredhaan Allah itulah yang berjaya meruntun jiwa setiap pembacanya.....Maha Suci Allah

Friday, September 17, 2010

ZIRAH MELANGKAH KE USIA 8 TAHUN

Hari ini bersamaan 18 Sept 2010 maka genaplah usia puteri sulungku 8 tahun. Dah besar panjang rupanya anak mama. Jika diukur dari segi fizikalpun dia dah sampai tinggi aras dagu mamanya....tak lama lagi zirah mungkin lebih tinggi daripada mama kata abahnya di pagi hari lahirnya.

Doa Mama untuk Zirah :-

Ya Allah, Engkau pemilik segala isi langit dan bumi, Engkau Penguasa Segala Makhluk...HambaMu yang penuh dengan kejahilan dan kelemahan ini menadah tangan mengucap syukur padaMu ya Allah di atas rahmat dan kurniaanMu kepadaku. Terima kasih dan syukur ya Allah kerana kini anak sulungku Nazifah Zahirah telahpun genap usia 8 tahun dan hambaMu ini sedar ya Allah bahawa dengan pertambahan usia anak ini pasti juga tanggungjawab kami sebagai ibu bapa yang telah Engkau amanahkan untuknya semakin berat.

Ya Allah, oleh itu hambaMu ini memohon kekuatan agar kami dapat melaksanakan tanggungjawab ini mendidik anak ini Nazifah Zahirah menjadi anak yang berguna dunia dan akhirat. Sesungguhnya ya Allah kami tidak punya kemampuan tanpaMu dan kami tidak punya apa-apa tanpaMu.

Ya Allah kurniakanlah usia yang panjang diiringi dengan kesihatan yang baik dan berterusan untuk anakku Nazifah Zahirah. Semoga anak ini akan Engkau jadikan di kalangan hambaMu yang beriman dunia dan akhirat. Pelihara akhlak dan akidahnya Ya Allah agar dia kekal terpelihara menjadi anak yang solehah. Kurniakanlah kepadanya ya Allah Pemilik segala Ilmu Pengetahuan kepintaran dan kebijaksanaan supaya dia terlepas daripada golongan mereka yang kufur sehingga menyebabkan kemungkaran kepadaMu.

Lindungilah dan selamatkanlah dia daripada segala bala,musibah dan malapetaka...semoga doa seorang ibu ini akan Engkau perkenaankan untuk seorang anak yang menyambut ulang tahun kelahirannya sebagai tanda sujud dan syukur hambaMu kepada Allah yang Maha Esa......Amin....

Zirah mengertilah di sebalik namamu NAZIFAH ZAHIRAH tersimpan satu pengertian yang cukup dalam iaitu BERSIH BERKILAU....semoga anak mama akan terus menjadi anak yang sentiasa bersih zahir dan batin dunia dan akhirat..niatkan apapun yang kita buat di dunia ini adalah untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t

SALAM PERKENALAN

Sesuatu yang indah itu bermula daripada catatan rasa keikhlasan terhadap apa yang telah dilalui sepanjang rona-rona kehidupan ini. Namun demikian, semoga wujudnya blog ini bukan menjadikan ia sebagai salah satu yang boleh melalaikan hambaMu ini ya Allah tetapi cuma sebagai wadah untuk hambaMu ini menzahirkan rasa syukur di setiap nikmat yang telah Engkau berikan.

Pemilihan nama 'Travelogabadi' sebagai tanda keinsafan bahawa sesungguhnya hidup ini cumalah sebagai satu persinggahan ke arah menuju perjalanan abadi. Dalam meniti ranjau-ranjau kehidupan pasti kita akan melalui pelbagai onak dan duri yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t sebagai ujian yang mematangkan kehidupan hambaNya.

Semoga melalui blog ini hambaMu ini akan lebih kuat dan lebih bersemangat menempuh kehidupan dengan satu keyakinan bahawa sesungguhnya Allah sentiasa bersama hamba yang sentiasa memohon dan berlindung sepenuhnya hanya kepadaNya.

Blog ini akan memaparkan catatan harian kehidupan malah juga akan saya jadikan sebagai medan untuk berkongsi ilmu hasil pembacaan dan pencarian internet untuk peringatan sendiri dan kepada sesiapa saja yang mengunjungi blog ini.